Kenaikan Gaji Penjawat Awam Fasa 2 2026 akan mula dibayar pada 22 Januari 2026, melibatkan penjawat awam yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). Pelarasan ini merupakan kesinambungan kenaikan gaji berperingkat yang diumumkan kerajaan pada tahun 2024.
Pelarasan gaji Fasa 2 berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 dan dikira berdasarkan gaji akhir pada 31 Disember 2025.
Pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) & Kenaikan Gaji 2026
Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) berkuat kuasa 1 Disember 2024. Pelaksanaan SSPA bertujuan memperkukuh kecekapan, produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan awam selaras dengan keperluan semasa.
Sistem ini berteraskan prestasi, tatakelakuan serta pengoptimuman sumber manusia, merangkumi aspek pembangunan modal insan, kepimpinan, tatakelola dan pemerkasaan penyampaian perkhidmatan. Kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) juga telah diselaraskan, serta memperkenalkan struktur ganjaran yang lebih kompetitif dan mampan.
Pelarasan Gaji Penjawat Awam Fasa 1 & Fasa 2
Pada 16 Ogos 2024, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan semula gaji penjawat awam. Pelarasan gaji penjawat awam ini akan dilaksanakan secara dua fasa. Melalui pelarasan ini, penjawat awam dapat menikmati kenaikan gaji sehingga 15 peratus, tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara.

Kenaikan Gaji Penjawat Awam Fasa 1
Pelarasan Fasa 1 telah berkuat kuasa pada 1 Disember 2024, dengan kadar berikut:
- 4% bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi
- 8% atau minimum RM250 bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana

Kenaikan Gaji Penjawat Awam Fasa 2 (2026)
Pelarasan Fasa 2 akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 dan dibayar bersama gaji bulan Januari pada 22 Januari 2026. Kadar kenaikan adalah seperti berikut:
- 3% bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi
- 7% bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana
Kenaikan ini dikira berdasarkan gaji akhir pada 31 Disember 2025. Penjawat awam mestilah memilih skim SSPA dan berada dalam perkhidmatan pada 31 Disember 2025 dan 1 Januari 2026 untuk melayakkan diri menerima pelarasan ini.
Walaupun pelarasan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, bayaran hanya dibuat pada 22 Januari 2026, selaras dengan tarikh pembayaran gaji bulan Januari.


Kelayakan Terima Pelarasan Gaji Fasa 2
Penjawat awam layak menerima kenaikan gaji SSPA Fasa 2 2026 sekiranya:
- Telah memilih skim SSPA
- Dilantik sebelum 1 Januari 2026
- Masih berkhidmat pada 1 Januari 2026
Pegawai yang menolak opsyen SSPA atau tidak lagi berkhidmat pada tarikh kelayakan tidak layak menerima pelarasan ini.
Kelayakan Pinjaman Berdasarkan Gaji Baharu
Pelarasan gaji ini dijangka meningkatkan pendapatan bersih penjawat awam, sekali gus membuka peluang kepada kelayakan pinjaman yang lebih baik, sama ada dari segi jumlah pinjaman atau pengurangan ansuran bulanan. Penilaian kelayakan biasanya bergantung kepada gaji semasa selepas pelarasan.
Artikel Berkaitan : Tarikh Bayaran Gaji Penjawat Awam 2026

Pelarasan Pencen Pesara
Penyelarasan pencen Fasa 2 akan dilaksanakan pada 1 Januari 2026, melibatkan:
- 7% bagi pesara Kumpulan Pelaksana serta Pengurusan dan Profesional
- 3% bagi pesara Kumpulan Pengurusan Tertinggi
Pelarasan ini turut melibatkan penerima pencen terbitan bermula Januari 2026. Kenaikan tahunan 2% yang diamalkan sebelum ini telah dimansuhkan selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dan digantikan dengan kaedah penyelarasan pencen berdasarkan pelarasan gaji semasa.
Kalkulator Kira Kenaikan Gaji Penjawat Awam (SSPA)
Berapakah kadar kenaikan gaji penjawat awam yang akan diterima di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA)? Pengiraan boleh dilakukan dengan mudah menggunakan Kalkulator Gaji SSPA yang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Kalkulator ini membolehkan penjawat awam mengetahui anggaran gaji baharu selepas pelarasan, termasuk kesan kenaikan Fasa 1 dan Fasa 2.
Akses Kalkulator Gaji SSPA di sini: https://sspa.jpa.gov.my/kiraan/kalkulator.php

Pengguna hanya perlu mengisi maklumat yang diperlukan pada ruangan disediakan dan menekan butang “KIRA” untuk mendapatkan jumlah gaji baharu yang akan diterima, seperti dipaparkan dalam sistem.

Maklumat Lanjut
Bagi anda yang memerlukan maklumat tambahan berkenaan pelarasan gaji bagi Fasa 1 dan Fasa 2 ini anda boleh dapatkan maklumat tersebut di laman sosial JPA atau melalui dokumen infografik yang disediakan di bawah: