KUALA LUMPUR – Industri automotif Malaysia bakal melakar sejarah baharu apabila Proton Holdings Bhd (PROTON) hampir menyiapkan kilang kenderaan elektrik (EV) berteknologi tinggi di Tanjung Malim, Perak.
Menurut PROTON, kilang itu yang dibangunkan dalam tempoh singkat selepas majlis pecah tanah Februari lalu kini mencapai kemajuan keseluruhan 86.9 peratus. Setakat ini, pembinaan infrastrukturnya siap 90.4 peratus manakala pemasangan peralatan telah mencapai tahap 83.5 peratus. Kejayaan ini dilihat sebagai bukti komitmen syarikat terhadap masa depan mobiliti hijau di Malaysia.
Kilang baharu itu akan berfungsi sebagai pusat pengeluaran pelbagai model berasaskan platform Global Modular Architecture (GMA). Model pertama yang akan dikeluarkan ialah Proton e.MAS 7, sebuah EV yang dijangka menjadi kebanggaan jenama automotif negara. Selepas itu, syarikat turut merancang memperkenalkan e.MAS 5, iaitu model peringkat permulaan yang kini giat diperkenalkan kepada orang ramai melalui siri jelajah seluruh negara.
Bagi memenuhi permintaan pasaran, kilang tersebut dibina dengan kapasiti pengeluaran awal sebanyak 20,000 unit setahun dan mampu ditingkatkan sehingga 45,000 unit secara berperingkat mengikut keperluan pasaran dalam dan luar negara. Dengan penggunaan sistem digital moden seperti Manufacturing Execution System (MES) dan Warehouse Management System (WMS), operasi pengeluaran juga menjadi lebih fleksibel tanpa memerlukan reka bentuk semula.
Ketua Kejuruteraan Pembuatan PROTON, Wan Yousry Mohamed, berkata pihaknya kini berada di fasa akhir persediaan termasuk ujian mesin, penentukuran dan integrasi peralatan. Beliau menjelaskan bahawa semua langkah ini dijalankan secara progresif bagi memastikan kilang benar-benar bersedia untuk memulakan produksi penuh bulan depan.
Selain daripada aspek teknikal, PROTON juga memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja. Setakat ini, lebih 30 pekerja berkelayakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan diploma telah direkrut serta menjalani latihan intensif. Secara keseluruhan, lebih 200 peluang pekerjaan baharu dijangka diwujudkan khususnya dalam bidang industrialisasi EV dan teknikal, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti tempatan serta meningkatkan tenaga kerja mahir negara.
Tidak seperti kilang enjin pembakaran dalaman (ICE), pengeluaran EV memerlukan fasiliti khusus termasuk zon pemasangan bateri, langkah keselamatan voltan tinggi serta prosedur ujian elektrik yang lebih ketat. Susun atur kilang di Tanjung Malim ini direka khas untuk memenuhi keperluan tersebut, selain memberi ruang kepada kebolehskalaan pengeluaran pada masa depan.
Projek ini turut mendapat sokongan padu daripada rakan strategik PROTON, iaitu Geely. Syarikat automotif China itu bukan sahaja membantu dari segi pemilihan peralatan, malah menghantar pakar teknikal, menyokong proses pemasangan serta menyediakan latihan luar negara untuk kakitangan PROTON.
Dengan kemajuan ini, industri automotif tempatan dijangka bakal memasuki era baharu apabila Proton e.MAS 7 dilancarkan tidak lama lagi, sekaligus menandakan langkah besar Malaysia ke arah pengeluaran kenderaan elektrik yang berdaya saing di pasaran global.