Najib Kembali Mahkamah Tinggi, Tepis Tuntutan Sivil RM42 Juta SRC

Join WhatsApp

Klik Sini

Join Telegram

Klik Sini

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kembali ke Mahkamah Tinggi untuk memberi keterangan berhubung saman sivil RM42 juta yang difailkan oleh SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd. Saman itu menamakan Najib sebagai defendan tunggal.

Najib, 72, menegaskan beliau tidak bersetuju dengan tindakan SRC dan mendakwa tuntutan itu tidak sah kerana cuba mempersalahkan beliau secara peribadi atas keputusan institusi dan menggambarkan beliau seolah-olah mengawal sepenuhnya urusan syarikat.

“Berdasarkan Perlembagaan SRC dan Akta Syarikat, tanggungjawab pengurusan terletak pada Lembaga Pengarah (BOD) dan pegawai syarikat. Sebarang kelulusan yang melibatkan jawatan awam saya hanya selepas proses BOD, dan tidak menjadikan saya pengarah bayangan atau pengarah de facto,” jelas Najib semasa memberikan keterangan utama melalui peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

Baca Juga : SARA RM100 Dikreditkan Bermula 9 Februari

Beliau menegaskan SRC salah tafsir Memorandum dan Artikel Persatuan syarikat yang sepatutnya hanya melibatkan nasihat pemegang saham berkaitan kepentingan negara, bukan kuasa mutlak ke atas BOD.

Najib berkata plaintif cuba menyimpulkan wujudnya hubungan sebagai pengarah bayangan, namun tiada bukti menunjukkan BOD bertindak mengikut arahan beliau. Sebaliknya, keputusan dan cadangan datang daripada pihak pengurusan, perbincangan BOD, serta kelulusan pemegang saham melalui Kementerian Kewangan (Diperbadankan) atau MOF Inc.

Beliau turut menekankan bahawa minit mesyuarat pemegang saham bukanlah arahan BOD dan tidak membebaskan pengarah daripada membuat pertimbangan secara bebas. “Terdapat persoalan mengenai ketulenan dokumen yang dikemukakan. Walaupun minit mesyuarat adalah sah, ia tidak menafikan tanggungjawab pengarah untuk membuat keputusan sendiri,” tambah Najib.

Sebelum ini, lima pengarah SRC dikeluarkan daripada saman itu, termasuk Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Suboh Md Yassin, dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, manakala Najib kekal sebagai defendan tunggal. Mahkamah kemudian membenarkan Najib mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

Najib turut menafikan beliau pernah mengarahkan pemindahan wang SRC kepadanya. Beliau menegaskan tidak mengetahui RM42 juta terbabit berasal daripada SRC. “Saya tidak menggunakan sesiapa sebagai perantara untuk memberi arahan kepada Ahli Lembaga SRC atau mengatur pemindahan RM42 juta ke akaun saya. Sekiranya ada pegawai yang mendakwa ia arahan Perdana Menteri, ia bercanggah dengan tadbir urus korporat yang betul,” jelas beliau.

Saman yang difailkan pada 2021 itu menuntut deklarasi bahawa Najib bertanggungjawab terhadap SRC dan Gandingan Mentari atas penerimaan RM42 juta, selain menuntut ganti rugi bagi tuduhan penipuan, penyalahgunaan kuasa, dan tort dalam jawatan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok. – Bernama

Leave a Comment