TERKINI : Semua pelajar kategori OKU di IPTA, Politeknik, Kolej Komuniti terima pendidikan percuma mulai sekarang – PM

Join WhatsApp

Klik Sini

Join Telegram

Klik Sini

PUTRAJAYA: Semua pelajar dalam kategori orang kelainan upaya (OKU) yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Politeknik dan Kolej Komuniti kini layak menerima pendidikan percuma berkuat kuasa serta-merta, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, inisiatif itu melibatkan kira-kira 3,000 pelajar OKU di seluruh negara dan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif serta adil kepada semua lapisan masyarakat.

“Semua pelajar kategori OKU di IPTA, Politeknik dan Kolej Komuniti akan diberikan pendidikan percuma mulai sekarang,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 di sini, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, keputusan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan golongan OKU tidak terpinggir dalam arus pembangunan pendidikan negara, selain memberi peluang yang sama rata untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa dibebani kos kewangan.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh langkah kerajaan memperluaskan bantuan pendidikan kepada golongan kurang berkemampuan secara keseluruhan, termasuk peningkatan jumlah penerima pendidikan percuma melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin tahun ini.

Artikel Berkaitan : Umur Prasekolah 5 Tahun, Darjah Satu 6 Tahun Bermula 2027

Langkah itu merupakan penambahan kepada 5,800 pelajar miskin tegar yang diumumkan sebelum ini dalam Belanjawan 2026, sebagai sebahagian daripada pelaksanaan berperingkat inisiatif pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Pendidikan Fadlina Sidek, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, serta beberapa menteri Kabinet lain.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata perancangan ke arah pendidikan percuma bukanlah satu langkah bersifat jangka pendek, sebaliknya telah menjadi sasaran utama kerajaan sejak awal pentadbiran.

“Ketika ini, pendidikan dari Darjah Satu hingga Tingkatan Enam telah disediakan secara percuma. Kita juga menyediakan elaun khas serta bantuan pembelian buku kepada pelajar bagi meringankan beban kos pembelajaran,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepentingan memperkukuh budaya membaca dalam kalangan pelajar dan masyarakat, sambil mengakui bahawa minat membaca semakin menurun bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat global.

“Kita perlu mengasah bakat anak-anak melalui sistem pengajaran yang berkesan dan membudayakan pembacaan sama ada melalui buku teks, buku pilihan atau bahan bacaan umum. Pakar pendidikan seluruh dunia mengakui bahawa budaya membaca atau budaya Iqra semakin terhakis dan perlu diperkasakan semula,” katanya.

Leave a Comment