KUCHING: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus mempergiat usaha membantu penduduk pedalaman di Sarawak mendapatkan dokumen pengenalan diri yang sah menerusi pelaksanaan Pasukan Petugas Khas (PPK).
Inisiatif tersebut dilaksanakan bagi memastikan tiada rakyat tercicir daripada sistem pentadbiran negara, khususnya golongan yang berdepan kekangan akses, faktor geografi serta kekurangan maklumat berkaitan pendaftaran dokumen pengenalan.
Menurut KDN, setakat ini lebih 12,000 permohonan dokumen pengenalan diri penduduk pedalaman Sarawak telah berjaya diselesaikan hasil pendekatan proaktif PPK yang turun terus ke lapangan, termasuk kawasan sukar diakses.
Baca Juga :
- Kemasukan Darjah Satu Umur 6 Tahun Ditentukan Melalui Ujian Diagnostik
- Semua pelajar kategori OKU di IPTA, Politeknik, Kolej Komuniti terima pendidikan percuma
“Usaha ini membuktikan komitmen kerajaan dalam menjamin hak setiap warganegara untuk memiliki dokumen pengenalan diri, sekali gus membolehkan mereka menikmati kemudahan asas seperti pendidikan, kesihatan dan bantuan kerajaan,” menurut kenyataan kementerian.
Pelaksanaan PPK melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), agensi kerajaan negeri serta pemimpin komuniti tempatan bagi mengenal pasti individu yang masih belum mempunyai MyKad, sijil kelahiran atau dokumen berkaitan.
Dalam masa sama, kerajaan memaklumkan bahawa baki permohonan yang masih dalam proses akan terus diberi keutamaan sehingga semua kes berjaya diselesaikan sepenuhnya.
Usaha berterusan ini dilihat selari dengan agenda keterangkuman sosial dan pembangunan seimbang, khususnya bagi memastikan penduduk luar bandar dan pedalaman di Sarawak tidak terpinggir daripada arus pembangunan negara.