Kemasukan Darjah Satu Umur 6 Tahun Ditentukan Melalui Ujian Diagnostik Mulai 2027

Join WhatsApp

Klik Sini

Join Telegram

Klik Sini

ALOR SETAR: Kelayakan kanak-kanak untuk memasuki Tahun Satu seawal usia enam tahun mulai sesi persekolahan 2027 akan ditentukan menerusi pelaksanaan ujian saringan diagnostik khas yang bakal diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata hanya murid yang memenuhi kriteria dan berjaya melepasi tahap kebersediaan ditetapkan melalui ujian berkenaan akan dipertimbangkan untuk kemasukan awal ke Tahun Satu.

Menurut beliau, ibu bapa yang berminat perlu mendaftarkan anak masing-masing bagi menduduki ujian saringan itu, yang dijadualkan untuk diumumkan pelaksanaan, lokasi serta kaedahnya dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Fadhlina menegaskan bahawa dasar kemasukan murid ke Tahun Satu pada usia enam tahun bukan satu kewajipan, sebaliknya bersifat pilihan kepada ibu bapa. Kanak-kanak yang tidak mengikuti laluan tersebut masih boleh memasuki Tahun Satu pada usia tujuh tahun seperti sistem sedia ada.

“Pertama sekali, ibu bapa jangan panik. Itu paling penting. Perlu bertenang dan melihat perkara ini sebagai satu pembaharuan dalam sistem pendidikan negara.

Artikel Berkaitan : Umur Prasekolah 5 Tahun, Darjah Satu 6 Tahun Bermula 2027

“Ia bukan sesuatu yang asing kerana banyak negara lain telah lama melaksanakannya. Atas sebab itu, kita memulakan langkah ini secara tidak wajib dan memberikan pilihan kepada ibu bapa,” katanya.

Beliau menjelaskan, meskipun ia satu pilihan, KPM tidak akan memberikan kebebasan sepenuhnya tanpa kawalan, sebaliknya kemasukan awal itu disokong melalui mekanisme ujian diagnostik bagi memastikan kebersediaan sebenar kanak-kanak.

“Ujian diagnostik ini bertujuan mengenal pasti sama ada anak-anak benar-benar bersedia, bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga aspek psikoemosi dan kemahiran asas.

“Kita mahu pastikan mereka mampu mengikuti pembelajaran di dalam kelas Tahun Satu dengan selesa dan yakin,” katanya lagi.

Fadhlina berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program PAKAT Prasekolah di Jabatan Pendidikan Kedah, yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan Negeri Kedah, Abdul Rahim Mat.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa beberapa kriteria akan dinilai menerusi ujian diagnostik itu, termasuk tahap kematangan emosi, kemahiran asas serta pencapaian minimum yang ditetapkan oleh KPM.

“Kanak-kanak perlu mencapai tahap tertentu dalam ujian ini. Penilaian bukan semata-mata akademik, tetapi merangkumi keseluruhan kebolehan dan kesediaan mereka,” jelasnya.

Tambah beliau, semua maklumat berkaitan pelaksanaan ujian diagnostik, termasuk tarikh, lokasi dan prosedur akan diumumkan secara rasmi bagi mengelakkan salah faham atau anggapan bahawa dasar ini dilaksanakan secara tergesa-gesa.

“Ibu bapa yang memilih laluan ini perlu memberikan komitmen dengan memastikan anak mereka menduduki ujian berkenaan. KPM akan membantu dan memberikan panduan yang jelas.

“Bagi ibu bapa yang tidak bersetuju, mereka boleh terus mengikuti kaedah sedia ada iaitu kemasukan Tahun Satu pada usia tujuh tahun. Sebab itu kita tekankan bahawa ia tidak wajib dan perlu disokong oleh penilaian diagnostik,” katanya.

Leave a Comment