Kuala Lumpur: Pertahanan baharu Kedah Darul Aman FC, Amirul Azhan Aznan mahu lebih menyerlah pada musim 2022 bagi membantu pasukan memburu kejuaraan.

Malah bekas pemain Perak FC itu turut berharap agar penghijrahan itu bakal membuka lembaran baharu dalam kariernya selain mahu mengintai peluang menyarung jersi kebangsaan selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2018 ketika Malaysia muncul naib juara Piala AFF 2018.

Justeru, pemilihannya ke Kedah pada musim depan diharap mampu untuk membantu Azhan kembali mencipta nama selepas bergelut bersama Perak pada tahun ini susulan pelbagai kemelut yang dihadapi sehingga tersingkir ke Liga Perdana 2022.

“Apabila saya dipanggil untuk beraksi ke Kedah, pihak pengurusan juga memberitahu saya mengenai sasaran pasukan musim depan dan ia selari dengan apa yang saya inginkan.

“Sasaran peribadi saya adalah untuk membantu pasukan melangkah ke pentas final tidak kira Piala Malaysia atau Piala FA dan sekurang-kurangnya dapat menduduki tiga teratas Liga Super.

“Tapi yang penting sekali adalah saya nak jadikan musim 2022 sebagai tahun kebangkitan semula prestasi saya supaya dapat dipanggil semula menyertai skuad kebangsaan.

“Masa dengan Perak musim ini, mungkin agak susah untuk saya dan pemain lain menyerlah melihat kepada prestasi pasukan itu sendiri, tetapi saya harap tahun depan nasib yang berbeza untuk kami semua agar lebih baik,” jelasnya.

Kehadiran pemain kelahiran Ipoh ini dilihat tepat untuk menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh Rizal Ghazali yang berhijrah ke Sabah FC pada musim depan.

Selepas enam musim bersama Perak, Azhan tidak menafikan musim ini banyak memberi pengajaran kepada dirinya dan enggan lagi toleh ke belakang bagi mencipta kejayaan baharu bersama Kedah.

“Pemilihan saya ke Kedah ini banyak faktor sebenarnya dan salah satunya adalah saya tidak mahu menunggu sesuatu yang tidak pasti dengan Perak dan sebab itu apabila mendapat tawaran, saya terus membuat keputusan untuk bersama Kedah.

“Cuma saya tidak menolak saingan juga mesti mencabar untuk memastikan saya sentiasa mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan saya difahamkan akan ada beberapa pilihan pemain muda lain juga di posisi saya,” katanya.

Pada musim ini, Kedah berjaya meraih tempat kedua Liga Super manakala Perak tersingkir ke Liga Perdana 2022 selepas berada di kedudukan kedua tercorot apabila hanya mengumpul 16 mata secara keseluruhan.

Sumber : BH

By Editor