PUTRAJAYA: Peruntukan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan sangat jelas menunjukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat Perdana Menteri dan Kabinet.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, ini bertetapan dengan prinsip Raja Berperlembagaan.

Beliau berkata, tambahan pula, semua pihak termasuk Raja-Raja Melayu dan rakyat perlu patuh serta menghormati perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini kerana Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi di dalam negara.

“Tugasan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong boleh dilihat dengan jelas di dalam Sumpah Jawatan Baginda seperti tercatat dalam Jadual ke 4, Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, Yang di-Pertuan dalam menjalankan tugas berhak untuk mendapat pandangan dan penjelasan daripada pihak-pihak yang Seri Paduka fikirkan sesuai.

Atas dasar itulah, katanya, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang di Pengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria.

Terdahulu, dalam satu kenyataan bersama bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan pensyarah undang-undang, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz berpendapat, terdapat beberapa sebab mengapa Yang di-Pertuan Agong perlu mendengar nasihat Perdana Menteri dan Kabinet seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kedua-dua tokoh itu berkata, pelanggaran beberapa peruntukan tertentu akan memberi kesan kepada Yang di-Pertuan Agong sendiri.

“Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Perdana Menteri dan Kabinet termasuk menteri-menteri menurut Perkara 40(1) & (2) Perlembagaan.

“Nasihat tersebut mestilah diikuti dalam Perkara 40(1A)). Melanggar peruntukan itu mungkin akan menyebabkan Peguam Negara tidak dapat membela sekiranya sesuatu cabaran terhadap keputusan atau tindakan Agong dibawa ke hadapan mahkamah dan mungkin keputusan atau tindakan itu diisytiharkan tak sah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

The post Agong perlu bertindak atas nasihat PM mengikut Perlembagaan – Apandi Ali appeared first on Utusan Digital.

Powered by WPeMatico

By editor