ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (Cake)  menganggap cadangan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia  (MIROS) supaya basikal didaftar, dilesen dan diletakkan nombor plat pendaftaran ke atas basikal adalah tidak wajar.

Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, Cake yang memantau suara pengguna mendapati mereka menyatakan cadangan itu  tidak munasabah dan tidak berasas walaupun diperkenalkan ke atas basikal yang berkuasa tinggi dan harga mahal.

Menurutnya, berdasarkan sejarah, lesen dan nombor plat  pendaftaran ke atas basikal pernah diperkenalkan semasa zaman penjajahan British dahulu, namun kini hendak diwujudkan  semula.

“Basikal kini kebanyakan digunakan untuk tujuan riadah, malah  ada juga golongan yang berpendapatan rendah dan pihak mempunyai kesedaran alam sekitar menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama mereka. 

“Tidak kurang juga ada pelajar yang masih menggunakan basikal untuk ke sekolah. 

“Sepatutnya kita menggalakkan penggunaan basikal ini kepada masyarakat kerana ianya bebas karbon dan menyihatkan tubuh badan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan setiap basikal di negara ini perlu didaftar, dilesen dan diletakkan nombor plat pendaftaran sama seperti kenderaan bermotor.

Peraturan ketat ini nampak jumud dan masuk akal namun, ia penting demi melindungi keselamatan pengguna jalan raya.

Sehubungan itu, MIROS sedang mengkaji keperluan berkenaan.

Mohamad Yusrizal menambah, langkah memperkenalkan lesen dan nombor plat pendaftaran itu  juga menyebabkan penggunaan basikal akan berkurangan di negara ini. 

Sebaliknya, beliau berkata, antara langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan kemalangan jalan raya bagi penggunaan basikal seharusnya pihak berkaitan memikirkan kaedahnya seperti menyediakan lorong basikal. 

“Sekiranya ada yang hendak konvoi berbasikal secara berkumpulan, mereka perlu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa dan menetapkan garis panduan kepada kumpulan ini untuk keselamatan mereka,” tambahnya. -UTUSAN

The post Tidak wajar basikal dilesen, diletakkan nombor plat pendaftaran appeared first on Utusan Digital.

By