ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri memberi jaminan bekalan makanan mencukupi di daerah Kota Setar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) bermula Jumaat lalu hingga 25 September ini.

Pengarahnya, Rae Morn Verak berkata, pengguna di kawasan tersebut tidak perlu melakukan pembelian secara berlebihan, sebaliknya mengikut keperluan ketika tempoh pelaksanaan Temco.

Menurutnya, hasil tinjauan yang dilakukan KPDNHEP pada setiap hari di daerah itu mendapati tidak berlaku kekurangan bekalan ke atas barangan keperluan seperti beras, gula, minyak masak, tepung gandum dan sebagainya.

“Sejak pelaksanaan Temco di 28 mukim di daerah itu, KPDNHEP negeri belum menerima aduan daripada peniaga dan pengguna mengenai kekurangan bekalan makanan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga terima menerima aduan mengenai kenaikan harga barangan keperluan di premis-premis perniagaan di kawasan Temco ini.

Jelasnya, pada masa ini, peniaga-peniaga tidak mempunyai alasan sekiranya mahu menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya.

“Harga kebanyakan barangan didapati masih kekal seperti sebelum ini walaupun daerah Kota Setar dilaksanakan Temco,” katanya.

Beliau menambah, pengguna boleh mengemukakan aduan kepada KPDNHEP sekiranya terdapat premis perniagaan di daerah ini yang didapati menaikkan harga barangan keperluan.

“KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas ke atas peniaga-peniaga yang cuba menaiki harga barangan dengan sesuka hati,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

The post Temco: Bekalan makanan dijamin cukup appeared first on Utusan Digital.

By