KOTA TINGGI: Selepas seminggu menahan sakit, seorang lelaki terpaksa ‘menyerah diri’ di Hospital Kota Tinggi (HKT) bagi mendapatkan bantuan menanggalkan cincin yang tersekat di jari kelingkingnya.

Ekoran itu seramai enam anggota dari Balai Bomba Penyelamat Kota Tinggi bersama dua jentera dikejarkan ke HKT bagi memberi khidmat memotong cincin dipakai lelaki berusia 30 tahun itu.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Yusman Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada pukul 11.01 pagi.

“Pasukan operasi menggunakan peralatan khas memotong cincin di jari mangsa sehingga dapat dikeluarkan dengan selamat. 

“Mengikut maklumat yang diperolehi, cincin tersebut telah lama dipakai tetapi dalam tempoh seminggu ini jari mangsa mulai bengkak namun mangsa tidak memaklumkan kepada sesiapa.

“Akibat tidak dapat menahan kesakitan, mangsa bertindak pergi ke hospital bagi mendapatkan bantuan selepas seminggu jari mangsa membengkak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, mangsa berada dalam keadaan selamat dan operasi ditamatkan pada jam 11.55 pagi. – UTUSAN

The post ‘Serah diri’ selepas cincin tersekat appeared first on Utusan Digital.

By