PUTRAJAYA : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan jaminan soal kedaulatan wilayah Sabah dan Sarawak akan terus dipertahankan tanpa sebarang kompromi. 

Tegas beliau, Sabah dan Sarawak akan terus kekal berada dalam Malaysia dan Kerajaan Persekutuan tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan kedaulatan negara.

Justeru, kata beliau, kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara dan agensi-agensi penguatkuasaan memikul tanggungjawab bersama untuk terus mempertingkatkan kawalan sempadan negara bagi mengekang sebarang cubaan untuk menceroboh dan mengancam kedaulatan negara. 

Pada masa sama, jelas Perdana Menteri, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa komited untuk memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak sepertimana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 adalah terpelihara. 

“Di peringkat awal pembentukan Kabinet Kerajaan PN saya telah mewujudkan satu portfolio khusus mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili. 

“Selain itu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 September yang lalu telah bersetuju untuk menubuhkan Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 yang akan dipengerusikan oleh saya sendiri sebagai Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2020 di Sibu Sarawak, malam ini. 

Menurut Perdana Menteri, Majlis Khas tersebut akan membincangkan isu-isu yang berkait dengan hak-hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Kata beliau, antaranya ialah kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu, hak negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Intergovernmental Committee, keselamatan negeri dan pendidikan. 

“Majlis Khas ini akan dibantu oleh jawatankuasa sedia ada yang telah ditubuhkan di peringkat kementerian dan agensi persekutuan berdasarkan isu-isu yang berkaitan.

“Saya berharap agar penubuhan Majlis Khas ini akan dapat merungkaikan beberapa isu yang masih tertangguh berhubung hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan segala usaha untuk membangun dan memajukan kedua-dua negeri itu dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi dengan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. 

“Saya hendak nyatakan di sini isu-isu yang dianggap sukar untuk diselesaikan boleh diselesaikan dengan baik apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sehaluan dan sehati sejiwa.

“Saya percaya apabila Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sehaluan, yang untung ialah rakyat. InsyaAllah, rundingan dengan Sabah akan kita mulakan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selesai, Insya-Allah,” katanya.-UTUSAN

The post Sabah Sarawak dipertahan, Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 ditubuh appeared first on Utusan Digital.

By