MADRID: Real Madrid dan Barcelona akan berentap dalam saingan El Clasico minggu depan dengan rekod  tercalar selepas kedua-dua gergasi La Liga itu dimalukan hari ini.

Zinedine Zidane melakukan empat pertukaran pada babak kedua, namun ia tidak mampu mengelakkan Real daripada tewas 0-1 kepada pendatang baharu liga, Cadiz.

Dua jam kemudian, Ronald Koeman pula merasai kekalahan pertama selepas pengendali Barcelona apabila kalah 0-1 kepada Getafe di Coliseum Alfonso Perez.

Prestasi Real agak membimbangkan apabila juara bertahan itu hanya melakukan dua percubaan tepat, malah Cadiz berpeluang menjaringkan lebih banyak gol selepas meraih jaringan awal menerusi Anthony Lozano pada minit ke-16.

Barcelona juga hambar apabila Lionel Messi gagal memainkan peranan dan pasukan itu gagal bangkit selepas sepakan penalti Jaime Mata meletakkan Getafe di depan pada minit ke-56.

 

LIONE Messi kecewa Barcelona tumpas kepada Getafe di Stadium Coliseum Alfonso Perez malam tadi. – AFP

 

Sudahlah kalah, Real berdepan isu kecederaan kapten, Sergio Ramos yang menghabiskan masanya pada separuh masa kedua di bangku simpanan kerana masalah lutut kiri.

“Tiada apa yang dapat dijelaskan. Jika mereka dapat menjaringkan dua atau tiga gol pada separuh masa pertama, keputusan mungkin berbeza,” kata Zidane.

Ini adalah penampilan pertama Cadiz dalam La Liga selepas 14 tahun dan pasukan itu melakar kemenangan sulung ke atas Real.

Dalam satu lagi perlawanan, pemain ‘buangan’ Barcelona, Luis Suarez terus cemerlang apabila membantu pasukannya Atletico Madrid menumpaskan Celta Vigo 2-0.

Jaringan Suarez seawal minit keenam dan Yannick Carrasco di waktu kecederaan membolehkan Atletico mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan setakat ini. – AGENSI

The post Real Madrid, Barcelona berkongsi aib appeared first on Utusan Digital.

By