KLUANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas arak seludup yang dianggarkan bernilai RM142,000 susulan penahanan dua lelaki di Jalan Idaman, Senai dekat sini hari ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang berkata, suspek warga tempatan berusia 31 tahun dan warga Vietnam berusia 33 tahun itu ditahan ketika menaiki Toyota Vios.

Katanya, susulan itu, kedua-dua suspek membawa polis ke sebuah rumah di Taman Scientex, di sini.

“Hasil pemeriksaan di rumah tersebut menemukan 121 kotak arak seludup jenama Knight General dan 35 kotak arak seludup jenama Carlsberg yang tidak mempunyai cukai kastam.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah RM142,000. Tangkapan dan rampasan arak seludup dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Kulaijaya untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – UTUSAN ONLINE

The post PGA rampas arak seludup, dua ditahan appeared first on Utusan Digital.

By