KUALA TERENGGANU: Pengunjung di pulau-pulau peranginan di negeri ini dinasihatkan tidak menyentuh, menganggu, menangkap atau melakukan apa-apa aktiviti yang mampu memberi ancaman terhadap ikan nemo atau Clownfish.

Pensyarah Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Liew Hon Jung berkata, perbuatan itu bukan sahaja menyebabkan ikan tersebut kehilangan arah untuk berpatah balik ke perumah asalnya, malah terpaksa mencari tempat perlindungan baharu di kawasan terumbu karang terbuka.

Katanya, situasi tersebut secara tidak langsung memberi risiko tinggi untuk clownfish diserang pemangsa dan berdepan dengan risiko kematian.

“Walaupun ikan itu berjaya mendapatkan perumahnya, sea anemone, tetapi perumahnya telah didiami oleh keluarga clownfish lain, maka ikan tersebut akan dihalau dan berisiko mati.

“Anak clownfish yang menetas selepas tempoh 14 hingga 21 hari turut berisiko mati jika masih gagal menjumpai sea anemone untuk didiami sekali gus menjadi antara faktor kepada kekurangan ikan ini di perairan semulajadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini tular gambar yang memaparkan aktiviti penangkapan ikan nemo di Pulau Redang hingga mendapat pelbagai reaksi negatif daripada orang ramai.

Menurut Hon Jung, di lautan semulajadi, clownfish hidup secara simbiosis dan saling memberi manfaat bersama sea anemone, yang mempunyai neurotoksin dan berupaya menyengat serta melumpuhkan masang atau pemasang kepada ikan tersebut.

Katanya, neurotoksin itu dalam masa sama memberi perlindungan kepada clownfish di samping jaminan tidak akan diserang oleh pemangsa. 

“Sebaliknya, ikan nemo terutama false clownfish yang terdapat di perairan Terengganu, spesis ini sentiasa hidup bersama-sama sea anemone sama ada sewaktu makan, rehat, mengawan, membiak dan bersosial dengan ahli keluarga sepanjang umur hidupnya. 

“Clownfish hanya menjalankan aktiviti hariannya di sekitar sea anemone dan juga tidak berenang jauh daripada perumah sea anemone untuk mencari makanan atau mengawan seperti ikan-ikan terumbu karang lain,” katanya. -UTUSAN

The post Penyelidik UMT bantah aktiviti tangkap ikan nemo di Pulau Redang  appeared first on Utusan Digital.

By