GEORGETOWN: Usianya telah menjangkau 70 tahun, namun lelaki warga emas itu masih setia menunggu kehadiran pelanggan di Hentian Teksi Batu Ferringhi di sini bagi mencari rezeki.

Sejak pandemik Covid-19 melanda Mac lalu dan kini negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ada kalanya Tan Hock Seng, 70, terpaksa pulang dengan tangan kosong walaupun menunggu pelanggan sejak pukul 6 pagi hingga 10 malam.

Hock Seng berkata, dia masih keluar mencari rezeki sebagai pemandu teksi kerana tidak mempunyai sumber pendapatan lain bagi menyara keluarga.

TAN HOCK SENG

“Sebelum Covid-19 melanda lagi pendapatan harian pemandu teksi telah terjejas akibat persaingan dengan perkhidmatan e-hailing.

“Saya sendiri telah tua, namun perlu juga keluar memandu teksi kerana tiada pendapatan lain, pelancong pun tiada sekarang dan kadang-kadang saya pulang dengan tangan kosong,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Hock Seng, sejak menjadi pemandu teksi lebih 20 tahun lalu, wabak Covid-19 merupakan ujian yang paling sukar untuk ditempuh.

“Selalunya di Batu Ferringhi dengan kehadiran pelancong pemandu teksi boleh mendapat pelanggan.

“Namun kini akibat PKPB, hotel-hotel sunyi dan tiada siapa melawat kawasan pelancongan popular ini lagi,” katanya.

Tambahnya, dia amat berharap PKPB dapat ditamatkan lebih awal sekiranya pandemik Covid-19 dapat dikawal oleh pihak berkuasa agar keadaan ekonomi terutama membabitkan industri pelancongan kembali pulih.

Dalam pada itu, seorang lagi pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Abu Bakar, 60-an, berkata, dia juga berharap pelancong dapat kembali melawat kawasan peranginan popular itu selepas Covid-19 dapat dikawal.

“Pada masa ini kami hanya boleh menunggu pelanggan, kadang-kadang ada pendapatan sekitar RM30 atau RM40 sehari.

“Namun, ada kalanya kami pulang dengan tangan kosong tetapi kami tetap jalankan kerja ini kerana tiada sumber pendapatan lain selain sudah tua,” katanya. – UTUSAN

The post Pemandu teksi tetap setia tunggu pelanggan  appeared first on Utusan Digital.

By

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com