makan

SEUSAI kaki melangkah masuk ke pekarangan Restoran Nasi Padang Indra, hidung segera menangkap bauan harum lauk-pauk sarat rempah Minangkabau yang panas berasap.

Nasi Padang bukan menu asing dalam senarai kulinari Nusantara, malah sudah lama menempa nama sebagai sebahagian daripada budaya masakan tanah air.

Berdasarkan kaji selidik berjudul World’s 50 Best Foods oleh Channel News Network Travel pada 2017, ikon utama Nasi Padang, iaitu rendang, terserlah sebagai menu paling enak dunia!

Persoalannya, apakah itu yang dimaksudkan sebagai Nasi Padang?

 

SOROTAN SEJARAH LELUHUR

Pelapis dan pengurus Restoran Nasi Padang Indra di Kampung Baru, Efrizal Indra, 36 berkata, Nasi Padang merujuk kepada makanan khas etnik Minangkabau.

“Di sana, kedai yang menjamu makanan enak ini disebut Rumah Makan Padang,” kata anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur ini kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Katanya, restoran itu diasaskan bapanya, Indra Mohd, 68, berasal dari Padang, Sumatera. Efrizal berkata, penghijrahan bapanya ke Malaysia pada lewat 1970-an menyaksikan ibu kota pada waktu itu sedang menerima kemasukan budaya makanan dari Padang.

“Ayah pernah berkongsi sejarah Kuala Lumpur tahun 1970-an. Katanya, waktu itu kedai masakan Padang pertama dibuka di Jalan Masjid India, di hadapan Wisma Yakin.

“Ayah saya pula pada waktu itu masih berniaga kecil-kecilan, dia jual buah potong di Masjid India sampai ke Kedah dan Perlis, berjual di fun fair. Dari situ dia kumpul modal, sehinggalah berjaya buka warung di Lorong Raja Muda Musa 5, Kampung Baru,” jelasnya.

DARI WARUNG KE RESTORAN

Bermula dengan sebuah warung, kini Nasi Padang Indra menempa nama sebagai antara tersohor dalam dunia masakan Padang. “Alhamdulillah, perniagaan baik-baik sahaja,” katanya dengan rendah diri.

Kini, restoran ini menyajikan menu autentik Padang yang terkenal. Dianggarkan lebih 80 jenis hidangan termasuk minuman khas Minangkabau dihidangkan di sini.

Antara yang memikat selera adalah gulai tunjangnya. Menggunakan tunjang atau urat keting yang segar, ia digulai empuk dalam kuah pekat bersantan. Penggunaan daun salam menyerlahkan aroma Indonesia, seraya mewangikan kuah.

Rasa gulainya serba sempurna, tidak pedas dan tidak pula hambar. Penggunaan rempah Nusantara termasuk lengkuas, kunyit hidup dan bahan rahsia lain melengkapkan rasa, membuatkan hidangan ini cepat sahaja licin.

Rendang dagingnya juga tidak kalah. Rendangnya ‘cukup masak’, malah jelas terasa penggunaan lengkuas dan buah keras menambah rasa lemak beraroma Nusantara.

Krew Mingguan Malaysia turut dijamu dengan dendeng daging luar biasa enaknya. Sambal hijau (atau dipanggil sambal ijo) yang disadur di atas kepingan daging goreng, mempunyai rasa memukau.

Semakin menambah seri meja makan kami, Efrizal turut menghidangkan belut goreng rangup. Efrizal memberitahu, anak belut yang digunakan bagi hidangan ini diimport khas dari Bukit Tinggi, Indonesia.

“Rasanya unik, wangi dan jarang-jarang boleh didapati di Malaysia,” katanya.

 

The post Nasi Padang gegar ibu kota appeared first on Utusan Digital.

By