GEORGETOWN : Lebih 50 banduan di Penjara Reman Pulau Pinang yang dikesan positif Covid-19 kini ditempatkan di zon hijau di dalam penjara berkenaan selepas menunjukkan perkembangan baik untuk sembuh daripada penyakit berkenaan.

Pengarah Penjara Reman negeri, Mohamed Jusoh Ismail berkata, kesemua mereka juga tidak menunjukkan gejala berkaitan Covid-19 dan telah diasingkan daripada banduan lain yang masih lagi bergejala.

“Petugas Kementerian Kesihatan (KKM) telah asingkan mereka yang menunjukkan perkembangan kesihatan yang baik di kawasan zon hijau iaitu blok khas untuk rawatan seterusnya.

“Banduan lain yang masih dirawat di pusat rawatan di dalam penjara juga berada dalam keadaan yang stabil,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sehingga semalam, Kluster Penjara Reman merekodkan 217 kes positif Covid-19 dengan satu kematian manakala Kluster Penjara Jawi pula mencatatkan 28 kes.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Penjara Pulau Pinang, Roslan Mohamed berkata, banduan yang disahkan positif Covid-19 di Penjara Seberang Perai, Jawi  dekat sini merupakan mereka yang tinggal di blok sama dengan mereka disahkan positif sebelum ini.

Katanya, sehingga semalam, seramai 28 banduan di Penjara Seberang Perai itu disahkan positif Covid-19 dan semua mereka merupakan banduan yang baru masuk ke situ iaitu antara dua hingga tiga minggu lalu.

“Semua mereka dalam keadaan stabil serta dirawat di dalam penjara dan mereka merupakan  banduan-banduan baru yang dimasukkan ke situ dan tidak bercampur dengan banduan lama yang berada di blok lain.

“Proses ujian saringan Covid-19 masih dijalankan ke atas banduan baru yang tinggal di blok sama dengan mereka yang positif,” katanya. -UTUSAN

The post Lebih 50 banduan positif Covid-19  kini dirawat di zon hijau  appeared first on Utusan Digital.

By