BATU GAJAH: Orang ramai berpeluang merasai suasana malam di Kellie’s Castle atau Istana Kellie di sini iaitu rumah agam kepunyaan saudagar berbangsa Ireland, mendiang William Kellie Smith yang dikaitkan dengan kisah misteri.

Lawatan pada waktu malam diperkenalkan sebagai salah satu inisiatif kerajaan negeri menerusi Tourism Perak dengan kerjasama Persaluan-Persatuan Pelancongan Di Dalam Negeri Perak bagi mengalakkan kedatangan pengunjung luar.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, lawatan malam dibuka sepanjang Oktober ini pada hari Jumaat dan Sabtu bermula pukul 8 malam hingga 12 tengah malam.

Menurut beliau, Kellie’s Castle dipilih sebagai satu produk pelancongan malam atau ‘Dark Tourism’ oleh Tourism Malaysia bersempena dengan Program Dream To Travel PATA pada 1 Julai lalu.

“Kita merasa bertuah apabila Kellies Castle di Batu Gajah telah mempersembahkan secara langsung selama 35 minit dengan kerjasama Urusetia PATA atau Persatuan Pelancongan Asia Pasifik di Bangkok dan Tourism Malaysia di Putrajaya.

“Persembahan ini telah disaksikan lebih dari 450 orang ahli-ahli PATA seluruh dunia yang ketika itu menghadapi situasi Perintah Kawalan Pergerakan. lni merupakan satu platform yang amat baik dalam mempromosikan produk pelancongan negeri Perak ke pentas antarabangsa,” katanya.

Terdahulu beliau melancarkan Geotourism Vounchers #TravelPeraklah dan DarkTourism di Kellie’s Castle di sini semalam yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Lawatan waktu malam ke Kellie’s Castle ini bagaimana pun dibuka kepada pengunjung berusia 12 tahun ke atas secara berkumpulan dengan diiringi petugas manakala harga tiket yang dikenakan RM10.

Ini merupakan pembukaan kali ketiga bagi lawatan pada waktu malam kepada pengunjung sejak diperkenalkan pada tahun 2017.

Dalam pada itu kata Nolee, Geotourism Vounchers #TravelPeraklah adalah inisiatif fasa kedua untuk membantu memulihkan sektor pelancongan negeri susulan kejayaan program Travel Baucar #TravelPerakLah yang dilancarkan pada Jun lalu.

Baucer bernilai RM150 ini boleh didapati dikesemua agensi pelancongan yang berdaftar dan terpilih dengan kadar syarat minimun pembelian pakej bernilai RM299 seorang atau tiga hari dua malam bagi mengetengahkan pakej dan produk terbaharu di bawah Geopark Perak sebagai destinasi wajib dilawati oleh pelancong. -UTUSAN

The post Lawatan malam di Istana Kellie appeared first on Utusan Digital.

By