BERA: Pendakian seorang ibu bersama anaknya menawan Bukit Senorang di sini menjadi kenangan terakhir buat keluarga itu apabila anak perempuannya meninggal dunia selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 33 Jalan Simpang Kerayong-Mayam di sini hari ini.

Kejadian berlaku ketika mangsa, Siti Aida Syamimi Mahmud Fauzi,10, yang berada di tempat duduk belakang bersama lima penumpang lain dalam perjalanan pulang menaiki kereta dipandu ibunya. 

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu berlaku ketika kereta jenis Proton Wira dinaiki tujuh orang itu dalam perjalanan dari arah Simpang Kerayong menghala ke Mayam.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu kereta berkenaan dipercayai gagal mengawal kenderaan dipandunya semasa menuruni bukit lalu terbabas ke sebelah kiri jalan.

“Akibat kejadian, seorang penumpang di tempat duduk belakang meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di kepala,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Mansor, Siti Aida Syamimi dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

Dalam pada itu katanya, siasatan dilakukan menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati punca kemalangan  disebabkan kecuaian pemandu kereta yang hilang kawalan. – UTUSAN ONLINE

The post Kanak-kanak maut kemalangan appeared first on Utusan Digital.

By