SEMALAM negara ini mencatat 869 kes Covid-19. Paling tinggi setakat ini. Selangor, negeri tempat tinggal saya pula ada 159 kes. Sejak dilaksanakan Perintah Kawalan Pergera­kan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor jalan raya agak lengang. Yang perlu ke pejabat dapat memandu dengan tenang. Itu mungkin salah satu sisi baiknya.
Sehari sebelum PKPB, saya berkira-kira hendak ke pasar raya. Selasa itu, hari cuti buat saya. Tetapi bila sampai jalan hendak masuk ke pasar raya, saya berpatah balik. Jalan sesak.
Siapa kata tiada pembelian panik ini? Sebelum ke situ, saya sudah terpengaruh dengan portal berita yang melaporkan, hari itu tiada pembelian panik. Dia buat tinjauan di mana tu? Dalam guakah? Getus hati saya. Pandai-pandai saja. Saya membebel sambil memandu keluar dari kawasan tersebut.
Kemudian saya singgah di sebuah kafe dalam pusat beli-belah lain. Memesan kopi sambil membaca berita-berita dalam telefon pintar. Me­mang panas berita seminggu dua ini. Lebih hangat daripada kopi yang saya hirup.
Dah kenapa politikus yang selama ini melabel diri pejuang rakyat ini? Dalam semua bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 yang masih kekal tiga digit, mereka pula macam cacing kepanasan, tak boleh duduk diam-diam. Berebut nak berkuasa. Masa ini jugalah merancang macam-macam.
Kot iya pun tunggulah Covid-19 reda. Tunggu kes turun ke satu digit. Maka, timbul persoalan, boleh pakaikah lagi slogan berjuang demi kepentingan rakyat itu. Auta sajakah?
Sambil itu saya melihat ramai budak berlari dan bermain dalam pusat beli-belah itu. Musim cuti persekolahan ke? Bukankah kerajaan tutup sekolah sebab ibu bapa bising-bising bimbangkan Covid-19, tapi bila dicutikan, mereka bawa pula anak berjalan-jalan.
Macam sebelum moratorium dilaksanakan. Bising-bising pendapatan terjejas. Tetapi bila ada kemudahan penangguhan pembayaran pinjaman itu, boleh pula pergi makan angin setiap bulan. Bukan wang itu digunakan untuk waktu susah. Itukah wajah sebenar rakyat negara ini?
Bukan. Bukan semua bersikap begitu. Tetapi ramai bersikap sedemikian. Pantang ada duit dan anak-anak diberi cuti. Panjang saja langkah hendak pergi ke sana ke sini termasuk balik ke kampung dari zon merah ke zon hijau.
Saya bukan anti budak-budak. Tetapi membawa mereka berbelanja membeli barang dapur di kala musim Covid-19 ini memang amat meresahkan. Terfikir, tidak bolehkah ketua rumah saja pergi membeli walaupun bukan lagi dalam tempoh PKP dan lain-lain itu duduk sajalah di rumah. Ketua keluarga sepatutnya ada sifat melindungi.
Betullah, takkanlah kita mahu kurung anak dalam rumah saja. Kalau tiga tahun ada Covid-19, tiga tahun lah mereka kena berkurung? Tidak. Yang saya maksudkan, kena ikut norma baharu. Pakai pelitup muka. Jaga penjarakan fizikal. Jangan tengok kedai itu sudah sendat, lagi mahu masuk tambah sendat.
Apa salahnya, isteri dalam tempoh ini, tak perlu pergi berbelanja. Kalau hendak pergi pun bergilir-gilirlah. Jangan fikir pasal masa berseronok dengan keluarga di luar. Ini adalah soal keselamatan dan nyawa. Kadang-kadang itu, tak beli apa sangat pun tetapi satu batalion dibawanya dari peringkat bayi hingga ke warga emas. Apalah bayi itu tahu tentang seronok mengikut ibu bapa berbelanja. Kalau tiada orang hendak menjaga bayi itu di rumah, tinggalkan sajalah isteri di rumah. Kadang-kadang orang perempuan pun satu hal juga. Hendak juga keluar, asalkan dapat keluar.
Semalam pula, ketika saya membeli barang di kedai serbaneka, seorang pekerja di situ bercerita kepada saya, kalau PKPB ini berterusan, pendapatannya akan berkurangan. Sebab mereka sudah diberi cuti rehat, dua kali seminggu. Bukan lagi sekali seminggu. Hasil jualan barang berkurangan. Sekarang boleh beroperasi sehingga 10 malam saja.
“Pening kak, gaji kena potong. Macam mana nak bayar sewa bilik. Hari itu dah elok-elok, sekarang kena PKPB pula, jangan PKP sudah,” katanya.
Ramai yang menjerit dalam media sosial, laksanakan PKP lah apa susah! Seronok sangat dengan PKP agaknya, boleh kerja dari rumah, buka komputer riba dan makan sedap-sedap. Tahukah ramai pendapatannya terjejas kerana PKP. Jangan fikir diri sendiri saja.
Itulah kita belum lagi menang, tapi gaya saja macam dah lama menang. Teringat pada peribahasa yang saya baca dalam media sosial baru-baru ini – meletup di sana, di sini bunyinya. Ia bermaksud orang lain bersalah, orang lain pula menanggung akibatnya. Ada yang terasa tak? Tak terasa sudah. – Mingguan Malaysia.

The post Ini cerita PKPB appeared first on Utusan Digital.

By