NEWCASTLE: Tiga gol lewat permainan membawa Manchester United kembali ke landasan tepat apabila membenam Newcastle United 4-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Pada ketika perlawanan seakan bakal berakhir 1-1 jaringan Bruno Fernades pada minit ke-86, diikuti gol Aaron Wan-Bissaka (minit ke-90) dan Marcus Rasford, enam minit memasuki waktu kecederaan memberi tiga mata berharga buat Red Devils.

Gol sendiri Luke Shaw seawal minit kedua meletakkan tuan rumah di depan, namun ketua pasukan, Harry Maguire menjadi watak penting United apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-23.

Kemenangan itu juga membolehkan anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer mencatat kebangkitan sempurna selepas dimalukan 1-6 oleh Tottenham dalam aksi terakhir liga di Old Trafford.

“Keputusan yang bagus dan karakter cemerlang untuk bangkit semula diketuai oleh kapten.

“Harry menjaringkan gol dan menjadi contoh kebangkitan rakan sepasukan lain. Dia menunjukkan karakter yang bagus dan saya gembira dengan prestasinya.

“Dia berdepan kesukaran sejak beberapa minggu lalu.

“Bagi kami, musim ini hanya bermula hari ini apabila pemain menunjukkan prestasi sebenar,” kata Solskjaer.

Solskjaer melakukan lima pertukaran berbanding ketika tewas kepada Tottenham apabila Eric Bailly, Nemanja Matic, Paul Pogba, Mason Greenwood dan Anthony Martial digantikan dengan Victor Lindelof, Scott McTominay, Fred, Daniel James serta Juan Mata. – AFP

The post Ini baru Manchester United! appeared first on Utusan Digital.

By