PUTRAJAYA: Hari Belia Negara 2020 yang berlangsung pada 15 Ogos ini di Persada Johor International Convention Centre akan mengiktiraf tokoh-tokoh atau wira tidak didendang yang ba­nyak menabur jasa semasa pandemik Covid-19.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk M. Noor Azman Taib berkata, seramai enam penerima bakal mendapat pengiktirafan melalui Anugerah Belia Negara Covid-19 selepas pihaknya menerima sebanyak 357 pencalonan daripada Majlis Belia Negara dari seluruh negara.

Jelasnya, acara tahunan bertemakan ‘Dekad Ini, Dekad Anda’ itu mengangkat tema yang bersesuaian mengiktiraf peranan dan tanggungjawab belia dalam mencorak negara sehaluan de­ngan visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Berbeza dengan tahun sebelumnya, pengisian program kali ini terdiri daripada campuran program fizikal dan secara maya mengikut lima kluster iaitu kepemimpinan, ekonomi, sukan dan kecergasan, sosial dan pertandingan.

“Sebanyak 17 aktiviti akan di­anjurkan secara maya termasuk­lah program ‘HBN20 e-Sports Challenge’ dan ‘Suara Lit’ yang memaparkan kisah belia berjaya di negara ini. Bagi program secara fizikal terbahagi kepada dua acara utama iaitu Konvensyen Belia dan Anugerah Perdana Belia Negara,” katanya dalam sesi taklimat bersama media di sini semalam.

Sambutan Hari Belia Negara turut disambut di setiap negeri sehingga September ini, sejurus pelancaran rasmi yang diadakan Sabtu ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka me­rasmikan majlis tersebut yang akan dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Mengulas lanjut, beliau ber­kata, kementerian sentiasa ko­mited memperkasakan agenda pembangunan belia dan sentiasa menghargai peranan serta sumbangan golongan tersebut kepada negara.

Malah, menurutnya, pihak kementerian akan terus menawarkan peluang dan berusaha secara bersungguh-sungguh demi pemerkasaan belia menerusi inisiatif rentas kementerian se­perti Skim Perantisan Nasional, MyGIG dan penubuhan platform maklumat – Single Landing Page. – UTUSAN

The post Hari Belia: Iktiraf wira tidak didendang Covid-19 appeared first on Utusan Digital.

By editor