PARIT: Galeri Nasaruddin Rais, seorang tokoh pejuang kemerdekaan dari Perak Tengah akan diketengahkan sebagai satu daripada produk pelancongan warisan Perak Tengah yang ketika ini sedang dibangunkan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohammed berkata, Nasaruddin Rais adalah seorang pejuang kemerdekaan yang berasal dari Kampung Padang Tenggala, Bota agak kurang diketengahkan dan dikenali.

“Keadaan rumah lama beliau di sini masih elok dan reka bentuk yang menarik. Mungkin satu sudut atau rumah akan dijadikan galeri dan seterusnya menjadi produk pelancongan warisan di Perak Tengah.

“Dengan kerjasama pelbagai pihak kita akan dapat jayakan galeri ini dengan lebih baik khususnya selepas mendapat kerjasama daripada keluarga dan warisnya.

“Setakat ini waris dan keluarga menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dan menjayakan pengisian bagi mengisi slot pelancongan warisan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Konvoi Pelancongan Warisan Perak Tengah dan Majlis Memperingati Tokoh Kemerdekaan Nasaruddin Rais, di rumah warisan keluarganya di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (i-Grow), Nordin Malek.

Khairul Shahril berkata, Nasaruddin memainkan peranan sebagai pejuang kemerdekaan negara namun kurang dikenali.

“Ini kerana Allahyarham meninggal dunia pada usia 39 tahun dalam nahas kapal terbang ketika dalam perjalanan mewakili Malaysia ke persidangan getah di London pada 1953,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pihaknya yakin dengan kerjasama i-GROW dan beberapa agensi lain termasuk Tourism Malaysia, segmen pelancongan warisan Perak Tengah dapat direalisasikan sebaiknya.

“Kita yakin dengan perancangan yang ada, kerjasama daripada i-GROW dan pentadbiran kerajaan negeri kerana Perak Tengah, terdapat banyak produk khususnya dalam pelancongan warisan untuk diketengahkan.

“Kita ada Galeri Melayu di Pulau Misa, i-GROW, kawasan sejarah kesultanan awal Perak di Lambor, makanan tradisi dan sebagainya yang mampu menjadi produk pelancongan yang cukup hebat,” katanya.

Sementara itu, Nordin berkata, pihaknya yakin produk pelancongan warisan Perak Tengah akan dapat diketengahkan dan digerakkan dengan lebih serius.

Katanya, dalam keadaan ramai menumpukan aspek pelancongan domestik, pelancong tempatan lebih gemar untuk mencari lokasi tempat makan yang menarik, makanan yang unik serta membeli-belah produk keluaran tempatan dengan santai.

“Dengan kedudukan Perak Tengah yang cukup strategik antara Ipoh dan Lumut serta limpahan dari kedudukan Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai, inisiatif pelancongan warisan itu diyakini mampu dilaksanakan dengan baik,” katanya.-UTUSAN

 

The post Galeri Nasaruddin Rais produk pelancongan warisan Perak Tengah appeared first on Utusan Digital.

By