JOHOR BAHRU: Hujan lebat dan bertembung dengan fenomena air pasang dipercayai punca beberapa kawasan sekitar bandar ini dinaiki air akibat banjir kilat.

Dipercayai air pasang berlaku di Selat Tebrau di samping limpahan hujan di Sungai Perling menyebabkan banjir kilat berlaku di tiga kampung iaitu Kampung Pasir, Kampung Pangkalan Rinting dan Kampung Sri Serdang.

Seorang penduduk Kampung Pasir, Mohd. Noh Abdul Hamid, 72, berkata, dia tidak menyangka hujan lebat menyebabkan air naik mendadak sehingga menyebabkan berlakunya banjir kilat.

Dia yang menetap lebih 40 tahun di kampung berkenaan memaklumkan, pada kebiasaannya air hanya naik hingga paras buku lali.

“Kampung di kawasan rendah sangat hampir dengan Laut Selat Tebrau yang berkemungkinan baru kira-kira 10 minit hujan lebat, sudah menyebabkan air naik hingga ke paras dada.

“Ketika kejadian, saya yang sedang berehat mula nampak orang kampung bersesak memindahkan kereta dan motosikal mereka tanpa sempat menyelamatkan barangan peribadi atau pakaian,” katanya ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Faizal Rasib, 35, berkata, dia yang pada ketika itu sedang bekerja di bengkel berhampiran kemudian mendapat panggilan telefon daripada isterinya memaklumkan hujan lebat sekitar pukul 2 petang selain air sudah mulai naik.

“Isteri saya telefon memaklumkan suruh pindahkan peti sejuk di dapur rumah kerana air hujan dari kampung kawasan rendah sudah mula naik hingga ke paras dada.

“Apabila tiba di rumah, saya tidak fikir panjang selepas melihat banjir di merata tempat, melainkan sama-sama bantu penduduk terutama yang warga emas berkerusi roda untuk dipindahkan ke tempat yang selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Suhaimi Abd. Jamal berkata, bayi berusia 11 hari dan warga emas 86 tahun merupakan antara mangsa terlibat.

Katanya, seramai 16 anggota ditugaskan ke lokasi kejadian sebaik sahaja pihaknya panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.20 petang

“Setakat kini terdapat 26 mangsa yang dikenal pasti melibatkan orang kurang upaya, warga emas, wanita bersalin dan seorang bayi yang diselamatkan.

“Namun kita masih mengesan jika terdapat lagi mangsa yang terkandas dengan kerjasama agensi penyelamat lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE

The post Fenomena air pasang punca banjir Johor Bahru appeared first on Utusan Digital.

By

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com