BAGAN SERAI: Pendakwah, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ustaz Ebit Lew membantu mangsa banjir di daerah Kerian yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Haji Aman di sini hari ini.

Seramai 152 orang dari 63 keluarga yang ditempatkan di PPS itu gembira apabila disantuni pendakwah itu yang tiba pada kira-kira pukul 7 malam.

Menurut Ebit Lew, hatinya mahu bersua wajah dengan mangsa banjir di sini selepas membaca laporan berita mengenai jumlah mangsa banjir di negeri ini yang semakin meningkat hari ini.

“Untuk mangsa banjir di PPS ini, kami berikan sumbangan tilam bujang 100 unit dan 60 unit tilam bersaiz besar.

“Di samping itu, saya berikan sedikit duit belanja RM100 bagi setiap keluarga mangsa banjir di PPS ini,” katanya ketika ditemui wartawan selepas melawat PPS berkenaan di sini hari ini.

Ebit Lew berkata, sebelum tiba di PPS berkenaan, beliau singgah di beberapa buah kampung berdekatan yang terjejas banjir.

Menurutnya, beliau membuat tinjauan bagi mengenal pasti bantuan yang diperlukan terutamanya warga emas dan ibu tunggal.

Katanya, mungkin ada peralatan rumah mangsa banjir yang rosak disebabkan banjir dan beliau sedia membantu.

“Hari ini saya turut membawa bersama saya 20 anak muda untuk membantu mencuci rumah penduduk yang terjejas banjir.

“Mereka akan terus berada di sini untuk mencuci rumah penduduk yang sudah surut banjir,” katanya. – UTUSAN ONLINE

The post Ebit Lew bantu mangsa banjir di Kerian appeared first on Utusan Digital.

By

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com