SHAH ALAM: Inisiatif pimpinan tertinggi UMNO dan Pas yang memutuskan untuk mendaftar Muafakat Nasional secara rasmi membuktikan komitmen tertinggi  kedua-dua parti dalam memartabatkan perjuangan membela agama, bangsa dan negara.

Muafakat Nasional Selangor dalam kenyataannya berkata, inisiatif yang diambil pimpinan tertinggi kedua-dua parti adalah seperti yang dimeterai dalam Piagam Muafakat Nasional.

“Muafakat Nasional negeri mengalu-alukan langkah strategik pimpinan tertinggi kedua-dua parti di peringkat pusat.

“UMNO dan Pas Selangor yakin rakyat di negeri ini mengalu-alukan perkembangan positif tersebut dan kedua-dua parti akan bekerjasama dengan lebih rapat lagi.

“Ini adalah demi mengukuhkan hubungan dan memantapkan jentera dalam memastikan Selangor dapat diselamatkan oleh Muafakat Nasional negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk  Dr. Ahmad Yunus Hairi.

Terdahulu,  UMNO dan Pas bersetuju mendaftarkan kedua-dua parti itu secara rasmi di bawah Muafakat Nasional (MN) dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (Ros).

Perkara tersebut disahkan setiausaha agung kedua-dua parti Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan hari ini. UTUSAN

 

The post Daftar Muafakat Nasional bukti komitmen UMNO, Pas appeared first on Utusan Digital.

By

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com