MERSING: Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan tidak sampai 24 jam ditinggalkan dalam beg di tepi jalan hadapan Balai Raya Kampung Tenglu Laut di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, pihaknya menerima laporan orang ramai yang memaklumkan menjumpai satu bayi di lokasi tersebut kira-kira pukul 2 petang.

“Sebaik sahaja tiba di kawasan berkenaan, didapati seorang perempuan dalam keadaan sihat dan cukup sifat di situ.

“Dia ditemukan dalam keadaan sihat namun tidak berpakaian di tepi jalan berhampiran balai raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Nuing, bayi itu dibawa ke Klinik Kesihatan Tenglu untuk pemeriksaan.

“Bayi tersebut kini dihantar ke Hospital Daerah Mersing untuk rawatan lanjut,” katanya.

Jelasnya siasatan dijalankan dibawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi. – UTUSAN ONLINE

The post Bayi perempuan ditinggal di tepi jalan appeared first on Utusan Digital.

By