JERANTUT: Walaupun tidak selesa dan kurang minat belajar menerusi program sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), namun Saiful Aliff Najmi Zulkifli, 18, tetap memberikan perhatian sepenuhnya ketika sesi itu berlangsung. 

Hasilnya, bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Bentong itu mendapat 10A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan secara dalam talian semalam. 

Saiful Aliff Najmi berkata, dia memang kurang selesa dan tidak berminat dengan pendekatan PdPR menerusi aplikasi dalam talian Google Meet ketika bercuti di rumah, tetapi tetap sabar serta komited menyelesaikan semua tugasan yang diberikan oleh guru.

“Saya tetap menumpukan perhatian sepenuhnya dan selesaikan tugasan yang diberikan oleh guru.

“Ketika di asrama saya bersama rakan kerap berbincang serta berkongsi pengetahuan sesama kami,” kata anak pekerja ladang FGV Holdings Berhad di Felda Kota Gelanggi Dua di sini kelmarin.

Anak sulung daripada lima beradik pasangan Zulkifli Abdul Hapit dan Kamariah Daud itu memperoleh A+ bagi subjek bahasa Melayu, Pendidikan Islam (A+), Sejarah (A+), Matematik (A+), bahasa Inggeris (A), Matematik Tambahan (A), Fizik (A), bahasa Arab (A-), Hifz al-Quran (A-), Maharat al-Quran (A-), manakala subjek Kimia dan Biologi masing-masing B+.

Saiful Aliff Najmi mengakui mempunyai kelebihan cepat ‘menangkap’ dan memahami apa diajar guru dan kemudiannya berkongsi bersama rakan sekelas sama ada di asrama atau menerusi aplikasi WhatsApp.

“Dengan kejayaan ini membolehkan saya bertambah yakin untuk menjadi seorang Jurutera Aeroangkasa dan akan memohon mana-mana institusi pengajian tinggi tempatan untuk melanjutkan pelajaran bidang berkenaan atau di luar negara sekiranya ada biasiswa tajaan,” katanya.

Selanjutnya, beliau berkata, kejayaannya juga merupakan rahmat Allah SWT kerana tugas utama sebaga umat Islam sentiasa mengamalkan ibadah yang juga sebahagian daripada pendidikan rohani dan disiplin harian yang menjadi perkara wajib di sekolah asrama penuh aliran agama.

“Saya berterima kasih kepada guru yang sangat komited, ikhlas dan tidak jemu ketika berdepan PdPR supaya kami yang bakal menduduki peperiksaan SPM memperoleh keputusan yang cemerlang.

“Kejayaan ini juga saya hadiahkan kepada kedua ibu bapa kerana mereka bersusah payah membelikan komputer riba untuk PdPR walhal ayah cuma berpendapatan rendah sebagai bekerja ladang, tetapi tetap memfokuskan pendidikan (anak) kami,” ujarnya.

Saiful Aliff juga mengakui menerusi program PdPR juga memberikan manfaat pengetahuan tentang dunia baharu bidang Teknologi Maklumat (IT), iaitu dapat mengikuti membiasakan suasana pembelajaran google meet dan mengakses tajuk tertentu membantunya membuat persediaan peperiksaan.  

“Saya akui sebelum ini (pelaksanaan PdPR) amat jahil tentang dunia IT, tetapi kini sudah hadam dan serba tahu hasil tunjuk ajar serta dorongan guru, ibu bapa dan rakan-rakan.

“Kemahiran ini amat membantu cita-cita saya untuk menjadi jurutera aeroangkasa yang masih jauh dan perlu belajar bersungguh serta menempuh pelbagai cabaran ketika di peringkat pengajian tinggi nanti,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

 

The post Tidak selesa PdPR, mampu raih 10A SPM appeared first on Utusan Digital.

Powered by WPeMatico

By editor