PASIR GUDANG: Tindakan pantas Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengarahkan sebuah premis haram tutup serta-merta berjaya menghalang pencemaran air berlaku di Sungai Kim Kim, di sini semalam.

Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam satu kenyataan memberitahu, satu serbuan dibuat susulan aduan orang awam berkenaan tumpahan bahan kimia iaitu glycerin pitch memasuki longkang awam di Taman Kota Masai, di sini.

Katanya, pemeriksaan mendapati premis tersebut menjalankan aktiviti jual beli kitar semula bahan buangan yang dihasilkan daripada industri oleokimia.

“Siasatan mendapati pencemaran berpunca daripada tumpahan sisa glycerin pitch daripada beberapa buah tong drum yang dikumpulkan di luar premis haram tersebut.

“Pemeriksaan lanjut di premis terbabit menemui sejumlah 796 buah bunghole drum yang mengandungi glycerin pitch yang diletakkan di merata tempat tanpa kawasan penstoran khas.

“Tindakan pantas JAS Johor dan semua pihak berkuasa yang terlibat telah berjaya mengelak tumpahan sisa glycerin pitch terus mengalir melalui longkang dan akhirnya ke Sungai Kim Kim,” katanya di sini hari ini.

Serbuan secara bersepadu itu melibatkan JAS cawangan Pasir Gudang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pasir Gudang, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut kenyataan itu, premis tidak berlesen berkenaan membeli glycerin pitch daripada sebuah kilang berasaskan oleokimia di kawasan perindustrian Pasir Gudang.

Tambahnya, pihak JAS Johor telah mengeluarkan dua kompaun di bawah kesalahan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Turut dikeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 untuk pihak kilang mengambil tindakan pembetulan dan langkah-langkah kawalan sewajarnya.

“Pihak MBPG telah mengeluarkan notis menghentikan dan tidak menjalankan perniagaan ke atas premis tersebut. Kompaun juga dikenakan di bawah Seksyen 70 (a) Akta Kerajaan Tempatan 1975 kerana premis telah beroperasi tanpa lesen perniagaan,” katanya.

The post JAS tutup kilang elak pencemaran air Sungai Kim Kim appeared first on Utusan Digital.

Powered by WPeMatico

By editor