KUANTAN: Pahang merekodkan enam kes kematian baharu Covid-19 dan merupakan antara tertinggi dilaporkan Kementerian Kesihatan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 89 kes.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Bahari Che Awang Ngah berkata, enam kes kematian tersebut melibatkan tiga lelaki dan tiga wanita termasuk dua daripadanya adalah warga emas.

“Tiga kematian di daerah Kuantan melibatkan dua wanita berusia 35 tahun dan 74 tahun dari Kampung Sri Damai dan Jalan Kubang Buaya serta seorang lelaki 47 tahun dari Indera Mahkota 14, dekat sini.

“Dua kematian di Bentong iaitu di Kampung Baru melibatkan seorang lelaki 66 tahun dan seorang wanita juga warga emas berusia 84 tahun menetap di Rumah Kilat Jalan Kuala Lumpur, Bentong.

“Kematian seterusnya melibatkan seorang lelaki berusia 44 tahun berasal dari Taman Raya Wira, Jerantut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebanyak 89 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif Covid-19 di Pahang mencecah ke angka 11,415 kes.

Dalam pada itu, Dr. Bahari berkata, daripada jumlah kes baharu didaftarkan, sebanyak 60 kes merupakan warga tempatan manakala 29 kes merupakan warganegara asing.

“Sebanyak 76 kes merupakan jangkitan tempatan dan 13 orang kena tahan (OKT), 38 kes diperoleh daripada saringan kluster, 40 saringan kontak rapat, sembilan saringan bergejala dan masing-masing satu kes daripada saringan kendiri dan bersasar,” katanya.

Sementara itu katanya, terdapat sembilan daerah mencatatkan pertambahan kes dari sembilan kluster yang masih aktif di negeri ini.

“Kes tertinggi dicatatkan di Kuantan (23 kes) diikuti Bera (19 kes), Cameron Highlands (15 kes), Temerloh (11 kes), Jerantut (6 kes), Rompin (6 kes), Lipis (5 kes) dan masing-masing dua kes di Bentong dan Maran.

“Kluster yang masih aktif, Batu Hitam (46 kes), kluster Delima Raya (103), kluster DTI Kemayan (170 kes), kluster industri Mentakab (67 kes), kluster Jaya Gading (112 kes) dan kluster Permai Sejahtera (109 kes).

“Antara lain ialah kluster Rantau Kenanga (84 kes), kluster Taman Teratai (64 kes) manakala kluster Ladang Bukit Ibam (25 kes),” katanya.

The post Enam kes kematian Covid-19 di Pahang appeared first on Utusan Digital.

Powered by WPeMatico

By editor