PONTIAN: “Saya pernah berputus asa kerana talian internet ketika mengikuti kelas dalam talian sangat perlahan sehingga menjejaskan tumpuan tetapi cuba kuatkan semangat.”

Demikian luahan Norfarhanis Samsuri, 18, salah seorang pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Perhentian yang memperoleh keputusan 5A dan 4B dalam Sijil Pelajaran Malaysia  (SPM) 2020.

Katanya yang mesra dipanggil Anis, banyak cabaran terpaksa dilalui berikutan pandemik  Covid-19 yang menyebabkan kelas secara bersemuka ditangguhkan dan diganti dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Di sebalik cabaran dan dugaan yang terpaksa ditempuh semua calon SPM tahun lalu, penghargaan wajar diberikan kepada guru-guru yang bertungkus-lumus menyediakan bahan-bahan pembelajaran untuk kami semua.

“Alhamdulillah, saya mencapai keputusan A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Perniagaan, Pendidikan Islam, Tasawwur dan Sains,” katanya yang tinggal di Taman Sri Api-Api, di sini.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu juga tidak lupa dengan sokongan dan pengorbanan ibu dan bapanya, Norjahan Admai, 55, dan Samsuri Hamzah, 55, yang banyak meluangkan masa ketika dia mengikuti pembelajaran di rumah.

“Ini termasuk menyediakan kemudahan komputer riba dan membiayai pelajaran kelas dalam  talian yang dianjurkan pihak luar agar saya dapat bahan pembelajaran tambahan selain disediakan pihak sekolah,” ujarnya.

Dia juga sentiasa melakukan solat hajat dan solat tahajud pada sebelah malam untuk memohon kepada Allah SWT supaya dipermudahkan pembelajaran serta menjawab soalan peperiksaan.

Katanya, dia memohonmengikuti pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam memenuhi cita-citanya menjadi pendidik berbanding kakak dan abangnya yang mengikuti jejak bapa bertugas dalam bidang kesihatan. – UTUSAN ONLINE

The post Pernah putus asa kerana capaian internet perlahan appeared first on Utusan Digital.

Powered by WPeMatico

By editor