PETALING JAYA: Sebanyak RM470,000 kompaun dikeluarkan terhadap 90 orang termasuk pemilik premis yang berkunjung ke pusat hiburan dan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Operasi kira-kira pukul 12 tengah malam tadi itu dijalankan oleh 15 pegawai dan anggota polis dari Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur.

Ketua JPJKK Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, keseluruhan kompaun itu dikeluarkan terhadap 51 lelaki dan 39 wanita atas kesalahan Seksyen 31, Peraturan 18 PU(A) 97/2021 (PKPB) Hadir/Terlibat Dalam Aktiviti Hiburan Di Kelab Malam/Pub (Aktiviti Terlarang).

“Anggaran kompaun yang dikeluarkan kepada pemilik premis (kesalahan berulang) dan kesemua pengunjung pusat hiburan itu adalah sebanyak RM470,000.

“Kita juga merampas kira-kira 500 botol minuman keras turut dirampas mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dengan nilai rampasan anggaran RM400,000 dan boleh dilucuthak mengikut Akta Kastam 1976,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azman berkata, serbuan lebih tegas akan diambil khusus bagi pusat hiburan yang jelas ingkar perintah SOP PKPB dan PKP yang bermula Jumaat ini di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi memastikan pematuhan terhadap SOP sentiasa di tahap yang tinggi. – UTUSAN ONLINE

The post 90 orang dikompaun RM470,000 di pusat hiburan appeared first on Utusan Digital.

By editor